Monday, 7 November 2011

Subjek Vokasional di sekolah dimansuhkan mulai tahun depan

Mata pelajaran vokasional (MPV) akan dimansuhkan di semua sekolah harian secara berperingkat mulai tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.”Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).
“PAV ini dikhususkan untuk pelajar peringkat Tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar di sini, hari ini.
Katanya, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak.
Beliau berkata, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di sekolah menengah teknik atau vokasional sebelum ini.
“Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV,” katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya Kementerian Pelajaran sudah memperuntukkan sejumlah RM242.6 juta untuk Program Biasiswa Kerajaan Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra-Universiti untuk tahun ini.

Saturday, 29 October 2011

Kemasukan ke KV, SMT dan SMV


Murid-murid yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 adalah dipelawa
untuk memohon ke Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan
Sekolah Menengah Teknik (SMT) bagi sesi pengambilan tahun 2012. 


Syarat-syarat Umum: 

  • Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
  • Pemohon hendaklah berada di Tingkatan 3 dan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2011.
  • Dilahirkan dalam tahun 1996 atau selepasnya.
  • Sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal. Bebas dari penyakit lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy) yang serius dan sebagainya. (Penyakit-penyakit ini akan membahayakan terutama semasa menjalankan kerja amali).
  • Tidak rabun warna bagi semua program Teknikal, Vokasional dan Kemahiran yang berkaitan Elektrik dan Elektronik. 

Cara Memohon:

  • Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web: Kementerian Pelajaran Malaysia atau datang sendiri (walk-in) ke KV/SMV/SMT berhampiran.
  • Tarikh bermula permohonan: 5 September 2011.
  • Tarikh tutup permohonan: 19 Disember 2011.

Thursday, 27 October 2011

PENGENALAN


Jabatan Automotif adalah salah satu kursus yang terdapat di SM Vokasional Alor Setar. Kursus ini merupakan kursus yang paling popular dan diminati ramai. Setiap tahun permintaan untuk mengikuti kursus ini amat membanggakan kerana ianya menawarkan pengetahuan dan kemahiran tinggi  yang boleh digunakan apabila pelajar-pelajar tamat pengajian kelak.

Jabatan Automotif  menumpukan pembelajaran kepada  SPM yang terbahagi kepada dua bidang iaitu Auto Asas dan Kerja Elektrik & Diesel. Penilaian menggunakan sistem profil dilakukan sepanjang tahun.

Bagi pelajar Sijil Kemahiran Malaysia yang mengambil Kursus Mekanik Kenderaan Motor Tahap 1, pelajar dikehendaki menyiapkan profil dalam masa yang telah ditetapkan, diwaktu yang sama pelajar akan mengikuti mata pelajaran teras sebagai persediaan SPM.